1. AKU JANJI
1.1 Sebagai seorang pengedar kepada Syarikat Bio-Pro Resources Sdn. Bhd. (selepas ini akan disebut sebagai Dermags International), saya bersetuju untuk mematuhi dan menghormati kepada apa yang terkandung di dalam KOD ETIKA ini.
1.2 Saya bersetuju untuk dikenakan tindakan tatatertib yang dikuatkuasakan oleh syarikat termasuk dibatalkan keahlian sekiranya saya melanggar mana-mana syarat, peraturan, larangan dan tanggungjawab sebagai seorang pengedar dan penaja.
2. PEMATUHAN
2.1 Saya akan mematuhi polisi dan semua syarat-syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat semasa menjalankan perniagaan saya.
2.2 Saya akan bercakap benar dan jujur dalam segala urusan:
a) Semasa mempromosi dan menjual barangan syarikat.
b) Semasa menaja orang lain untuk menjadi pengedar.
c) Semasa memberi penerangan pelan perniagaan syarikat.
2.3 Saya tidak akan membuat apa-apa ‘tuntutan’ ke atas barangan syarikat selain daripada yang didapati dilabel dan risalah yang dikeluarkan oleh syarikat.
2.4 Saya akan bersikap jujur, bersopan santun dan sentiasa memberi layanan yang baik apabila membantu memberikan penjelasan kepada pengguna dan akan mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh syarikat mengenai barangan, tukar ganti dan pemulangan wang tunai.
3. SYARAT-SYARAT DAN PERATURAN
3.1 Setiap individu yang mengedar / memasarkan barangan syarikat hendaklah membaca dan memahami syarat-syarat dan peraturan dengan teliti. Alasan/kenyataan seperti “tidak memahami” atau “tidak mengetahui” syarat-syarat dan peraturan tidak akan diterima dalam apa-apa penyiasatan / penguatkuasaan undang-undang.
3.2 Seseorang yang berhasrat menjadi pengedar barangan syarikat mestilah memohon kebenaran untuk menjadi ahli terlebih dahulu daripada syarikat dengan mengisi Borang Pendaftaran secara online di www.dermagsinternational.com
3.3 Pemohon mestilah berumur tidak kurang daripada18 tahun untuk menjadi pengedar.
3.4 Permohonan menjadi Pengedar boleh dibuat oleh individu secara persendirian atau perkongsian.
3.5 Permohonan oleh pertubuhan atau syarikat mestilah disertakan dengan resolusi daripada rakan kongsi / pemegang saham.
3.6 Kuasa seorang pengedar bermula dari tarikh pendaftaran ke dalam sistem syarikat dan berterusan sehingga dibatalkan (ditamatkan).
3.7 Sekiranya kuasa pengedar harus dibatalkan, ianya akan dilakukan mengikut tatacara di perenggan (8.1 & 8.2).
3.8 Syarikat akan menyimpan butir-butir maklumat pengedar ke dalam pengkalan data berkomputer.
3.9 Senarai serta nama pelanggan dan pengedar adalah milik syarikat dan ia tidak boleh digunapakai oleh pengedar untuk berniaga atau kegunaan komersil tanpa persetujuan bertulis dahulu daripada syarikat.
4. PRINSIP PENUKARAN PENAJA DAN PENGEDAR
4.1 Penukaran dari satu penaja kepada penaja yang lain adalah TIDAK dibenarkan. Walaubagai mana pun syarikat berhak membuat pertimbangan sekiranya kedua-dua penaja atasan membuat permohonan bertulis dan memberi justifikasi kepada syarikat. Keputusan syarikat adalah muktamad.
4.2 Prosedur yang sama seperti di perenggan (4.1) hendaklah dipatuhi sekiranya seorang pengedar hendak menukarkan pengedar bawahnya kepada pengedar lain.
4.3 Pengedar boleh memohon untuk didaftarkan semula di rangkaian yang baru setelah enam bulan keahliannya tidak aktif. Syarikat berhak menerima atau menolak setiap permohonan pendaftaran semula.
5. TANGGUNGJAWAB SEORANG PENGEDAR
5.1 Seorang pengedar adalah bertanggungjawab untuk mendapat dan memahami syarat-syarat dan peraturan mengenai pemasaran pelbagai peringkat (Multilevel Marketing - MLM) dan Jualan Langsung (Direct Selling) seperti yang terkandung di dalam Akta Jualan Langsung Malaysia 1993.
5.2 Seorang pengedar mestilah menyimpan rekod jumlah pendapatan yang diterimanya. Beliau bertanggungjawab untuk menghantar rekod pendapatannya kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri dan membayar cukai yang dikenakan.
5.3 Pengedar mestilah bertanggungjawab di atas segala tuntutan yang diakibatkan oleh penipuan dan salah laku olehnya.
5.4 Pengedar mestilah menerangkan cara-cara penggunan yang betul dan apa-apa amaran yang dicetak pada label-label barangan semasa sesuatu penjualan atau demonstrasi.
5.5 Bila mana pelanggan meminta Jaminan Kepuasan syarikat dipenuhi, seorang pengedar mesti menerangkan kepada pelanggan sama ada menukarkan barangannya, mendapatkan bayaran semula atau menukar dengan barangan yang sama nilainya.
5.6 Pengedar mestilah mematuhi semua undang-undang, peraturan dan kod etika mengenai operasi pengedaran dan tidak boleh menjatuhkan imej syarikat.
6. LARANGAN KEPADA PENGEDAR
6.1 Setiap pengedar pada dasarnya adalah peniaga bebas. TIDAK ada perwakilan atau kaitan pekerjaan di antara syarikat dengan pengedar. Oleh itu, larangan-larangan berikut hendaklah dipatuhi:
6.2 Seorang pengedar tidak mempunyai pengesahan atau kuasa untuk mengikat perjanjian bagi pihak syarikat atau berkontrak di dalam nama dan membuat sesuatu liabiliti secara apapun atau untuk apa-apa tujuan sekalipun.
6.3 Seorang pengedar tidak boleh menggunakan nama Syarikat, logo, slogan atau tanda-tanda perniagaan atau cogankata seperti pekerja Bio-Pro Resouces dan / atau wakil di atas semua alat tulis atau bahan-bahan percetakan.
6.4 Seorang pengedar tidak boleh membuat pengakuan atau penerangan kepada sesiapa pun bahawa ia mempunyai hak bagi sesuatu kawasan.
6.5 Harga-harga runcit barangan syarikat ditetapkan oleh syarikat dan pengedar TIDAK BOLEH menaik atau menurunkan harga yang telah ditetapkan.
6.6 Pengedar tidak boleh memberi penerangan yang salah terhadap mutu dan keistimewaan barangan syarikat. Penerangan yang diberi mesti mengikut apa yang disebutkan pada label setiap barangan atau risalah-risalah yang dikeluarkan oleh syarikat.
6.7 Pengedar tidak dibenarkan membuat sebarang tawaran atau melibatkan syarikat untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diakibatkan oleh penggunaan yang salah kecuali mengikut peraturan yang terkandung dalam Jaminan Kepuasan syarikat.
6.8 Pihak syarikat tidak akan membenarkan pembungkusan semula barangan untuk tujuan jualan kecuali dengan kebenaran syarikat.
6.9 Dalam tempoh menjadi pengedar, pengedar dilarang sama ada dengan secara langsung atau tidak langsung menyertai sebarang rakan pengedar untuk menjadi ahli atau mengikuti program perniagaan pemasaran berbilang tingkat yang lain dan larangan tersebut juga berkuatkuasa kepada bekas pengedar selama tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh bekas pengedar dilucutkan keahliannya.
6.10 Pengedar berpangkat Executive dan ke atas TIDAK DIBENARKAN menjadi ahli yang bergiat aktif kepada syarikat pemasaran pelbagai peringkat yang lain. Tindakan melucutkan keahlian Dermags International boleh dikenakan jika melanggar kod etika ini.
6.11 Pengedar mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan produk dan syarikat secara positif. Tindakan memburukkan imej syarikat dan pihak pengurusan yang lain adalah tindakan yang bertentangan dengan tanggungjawab ini. Pelanggaran peraturan ini boleh membawa kepada tindakan disiplin, termasuk penamatan perjanjian pengedar secara serta-merta.
7. TANGGUNGJAWAB SEORANG PENAJA
7.1 Penaja bertanggungjawab untuk menyelia dan memberi sokongan kepada pengedar yang menyumbang kepada pendapatan bonus beliau.
7.2 Pada setiap bulan penaja harus sentiasa berkomunikasi dan menyokong pengedar yang menyumbang kepada bonus beliau dengan menggunakan salah satu cara atau gabungan cara dari cara-cara yang berikutnya:
a) Hubungan peribadi.
b) Menghubungi dengan telefon.
c) Berkomunikasi bertulis.
d) Hadir pada perjumpaan-perjumpaan pengedar.
7.3 Dalam mempersembahkan pelan perniagaan Syarikat, seseorang penaja mestilah menjelaskan kepada bakal pengedar mengenai pendapatan yang akan diterima daripada bonus-bonus yang telah ditawarkan.
8. PELANGGARAN SYARAT-SYARAT
8.1 Pengedar yang melanggar apa-apa syarat dan peraturan serta KOD ETIKA akan ditamatkan kuasa pengedaran dan keahliannya.
8.2 Satu “Notis Untuk Penamatan” akan dihantarkan kepada pengedar yang didapati melanggar syarat dan peraturan. Pengedar tersebut akan diberi tempoh tujuh (7) hari kerja untuk memberi jawapan mengapa pihak syarikat tidak harus menamatkan pengedarannya.
8.3 Kegagalan berbuat demikian akan dianggap sebagai persetujuan untuk penamatan. Pengedar yang telah ditamatkan pengedarannya adalah dilarang dari mengedar / memasarkan barangan syarikat. Kesemua pengedar di dalam kumpulannya akan dipindah tetap kepada penaja atasannya.
8.4 Jika dua orang pengedar mendakwa sebagai penaja kepada pengedar baru yang sama, pihak syarikat akan memutuskan permohonan pertama yang diterima sebagai sah. Untuk mengelakkan dari berlaku penajaan bertindih, pengedar hendaklah terlebih dahulu memastikan orang yang bakal ditaja sebagai pengedar belum lagi ditaja oleh pengedar lain.